Sabtu, 15 Mei 2010

Sahabat Yang Hebat

Bagaimana tidak hebat, setidak-tidaknya berbanding dengan diri saya. Dia mendaki tangga kerjayanya dengan penuh gemilang dan bergaya. Dari berada pada tahap penyelia, mendaki ke tahap pengurus dan seterusnya pengurus kanan. Meninggalkan saya yang setiap kali penilaian prestasi dibuat, keputusannya cukup makan. Sedangkan dia mencapai tahap melebihi keperluan, kalaupun tidak mencapai amat cemerlang. Jabatan di bawah kepimpinannya berkembang pesat dengan peningkatan kakitangan. Anugerah demi anugerah di raih oleh organisasi natijah kepimpinannya. Peningkatan kemahiran dan kemampuan kakitangan di dalam jabatan amat membanggakan. Kalau dulu Eksekutif 1 menjadi Eksekutif 2 memerlukan lebih 10 tahun, tetapi kini dalam lima tahun sudah dapat diperolehi kenaikan pangkat sebegitu.

Saya mengenalinya semenjak tahun pertama sahabat ini bersama organisasi. Kami bersama di dalam Jabatan Pengeluaran, menjadi penyelia. Selepas itu kami sama-sama melanjutkan pelajaran untuk ijazah pertama. Detik pertama yang memisahkan kerjaya kami ialah bila dia berjaya menjadi pengurus selepas mendapat ijazah pertamanya, sedangkan saya kembali ke jawatan asal saya sebagai penyelia.

Selepas dia menjadi pengurus, nasib saya dari segi kerjaya terus terumbang ambing. Namun sahabat, yang kini menjadi pengurus, benar-benar mahu membantu saya. Sedang saya terkapai-kapai, dia mengambil saya untuk berada di dalam jabatan di bawah pengurusannya.

Sesetengah orang sukar untuk menerima hakikat sahabat sendiri menjadi pengurusnya. Mungkin ada yang terus meletakkan jawatan dengan pelbagai alasan – pilih kasih, kuat bodek, kuat mengampu, pijak kepala orang lain, tidak adil, dan lain-lain alasan yang boleh lagi kita fikirkan. Namun pihak pengurusan tentunya telah mempertimbangkan banyak perkara sebelum membuat keputusan. Tentunya ada kekuatan teknikal dan kualiti kepimpinan yang menyebabkan dia dijadikan sebagai pilihan.

Hakikatnya, rezeki, jodoh pertemuan dan ajal maut di tangan Tuhan. Lalu apa yang hendak kita gusarkan. Saya mungkin menanam lalang, jadi lalanglah yang saya tuai. Sahabat saya itu menanam padi, tentulah padi yang menjadi tuaiannya. Saya meneruskan khidmat di bawah pentadbirannya dan dia telah memberikan banyak sumbangan di dalam kehidupan saya.

Banyak jika mahu saya senaraikan. Yang saya rasa paling bernilai ialah ketika saya dipindahkan ke pantai timur, dia mengusahakan agar saya berpindah semula ke dalam jabatan di bawah kepimpinannya. Kebetulan keperluan perniagaan organisasi memerlukan ”HSE trainer”, saya telah dibantu olehnya untuk mendapatkan jawatan tersebut. Berkhidmat di bawah kepimpinannya terasa sangat kebebasan dan penurunan kuasa yang diberikan. Jika kita memanjangkan kertas cadangan, amat mudah dia memberikan persetujuan.

Sebagai sahabat saya dapat berbincang dan meluahkan banyak perkara, dan dia sentiasa bersedia untuk mendengarnya. Jika saya bermasalah di dalam kerja saya, dia sentiasa bersedia untuk memberikan pandu arah. Dia amat mengambil berat tentang kerjaya saya meskipun dia tahu usia saya bersama organisasi hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. Terakhir dia menyokong saya dan mencadangkan kepada pihak pengurusan untuk menjadi pengurus kepada suatu juzuk kecil dari sebuah jabatan, meskipun dia tahu bahawa pihak pengurusan tidak pernah bercadang untuk meletakkan saya di dalam kotak jawatan tersebut, justru saya cuma di katakan sebagai mendapat tugasan memangku jawatan pengurus juzuk kecil itu sehingga suatu notis selanjutnya dikeluarkan, dan sayapun setelah lebih setahun tidak pernah diberikan penilaian kecuali penilaian prestasi, atau dikenalpasti jurang kemahiran yang sepatutnya saya tutup yang membolehkan saya menduduki kotak pengurus tersebut.

Sebenarnya bukan semua sahabat saya dapat melakukan sesuatu sepertinya. Apabila sahabat menjadi pengurus, ramai yang menyangka kehidupan kita akan menjadi lebih mudah kerana sebagai sahabat mereka mengenali kita dan akan membantu kita. Bukan semestinya menjadi begitu. Sejarah persahabatan sebenarnya mendedah dan menyerlahkan pelbagai kelemahan diri kita. Apabila sahabat kita itu menilik kita melalui kacamata jawatan pengurusnya, sudah tentu kelemahan itu akan menjadi penghalang untuk dia membantu kita. Apabila kita berbicara, kita akan berterus terang dengan pendapat dan prinsip kita kerana menganggap dia sahabat kita. Namun jika pendapat dan prinsip itu bertentangan dengan gaya kepimpinannya, sahabat kita yang telah menjadi pengurus kita itu akan menggunakannya untuk menjadi sebab kenapa kita tidak dapat dibantu, rengkasnya keterbukaan yang akan memakan diri kita sendiri. Hakikatnya kita berbicara sebagai seorang sahabat sedangkan dia merekodkan di dalam kotak ingatannya sebagai seorang pengurus.

Namun dia tidak berlaku untuk sahabat saya ini. Saya benar-benar takjub dedikasinya terhadap saya. Pun begitu, akhirnya pada penghujung April lalu kami berpisah. Dia mara lain di dalam kerjayanya, dan saya terkontang kanting dengan tugasan memangku di dalam kotak yang bukannya milik saya. Di hari terakhir selepas dia menyampaikan amanatnya, saya bersalam dan hanya mampu mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas segala budibaiknya. Kalau saya teruskan kata-kata saya, tembelang kesyahduan saya pasti pecah.

Bagi saya dia adalah sahabat yang hebat. Dia hebat membina kerjayanya dan dia juga hebat kerana masih boleh menghargai sejarah persahabatan kami. Semoga dia akan terus maju di dalam perjalanan kerjayanya.